September 8, 2013

Nota Lelaki Kepada Perempuan Comelnya Sepanjang Hidup

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani,


Malam ini, lelaki itu sunyi. Jalan bersendirian di atas lantai hitam. Atmosfera gelap menyelimuti cahaya. Yang tinggal hanya cahaya bintang dan bulan. Lebih tepat, angin turut bertiup enak, membelai rambut lelaki yang kusut masai .

Terbit rasa ingin tahu. Rindu kepada secebis dirinya. Secebis yang bisa memberikan lelaki itu sebuah perasaan bahagia yang bukan biasa. Rumit untuk diterangkan dan dihuraikan. Bahagia yang mampu menyempurnakan agama. Itu mungkin cukup penjelasannya .

Namun, lelaki itu tidak tahu, tidak tahu ke mana hilangnya cebisan itu. Mungkin lebih tepat , lelaki itu tidak tahu pun segala tentang cebisan itu melainkan tuhan yang maha mengetahui. Redha.

Lelaki itu berjalan perlahan, berteduh di bawah bumbung yang bercahaya. Meraba-raba pemandangannya, mencari cebisan yang entah bagaimana rupanya. Secebis yang bisa memberi perasaan bahagia yang menyempurnakan agama lelaki itu.

Lelaki itu mula memberi pandangan pertama .

Cebisan bertudung merah jambu. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.

Cebisan berambut perang kemerahan-merahan. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.

Cebisan berkaca mata comel. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.

Susur keluar diatur. Kembali ke atmosfera gelap. Buntu. Entah bagaimana rupa cebisan yang mampu memberi perasaan bahagia buat lelaki itu sepanjang hidupnya.

Cebisan yang boleh memberikan lelaki itu satu lagi perasaan yang ikhlas memberikan setia mengikat janji tuhan. Degupan jantung cebisan yang mampu memberi nyawa untuk senyum bersama lesung pipit sebelum dipanggil tuhan. Rindu lagi.

Lelaki itu mula melukis hikayat di hatinya. Berdakwatkan rindu dan berkanvaskan harapan. Baring di atas lantai hitam, mencuit bintang-bintang yang terapung menyebarkan cahaya kecilnya yang bisa memberi zikir kepada tuhan.

Perempuan bertudung putih membawa si bunga yang cantik berlatarkan anjung luar rumah. Wajahnya samar-samar. Memegang bunga putih sambil tunduk dibawah bintang-bintang yang bergemerlapan. Hikayat seorang perempuan yang berkisahkan rindu menanti cebisan juga yang mampu memberi perasaan bahagia yang bisa menyempurnakan agamanya.

Dakwat rindu masih basah lagi. Harapan masih luas lagi. Namun, perasaan bahagia itu tersangkut dek kerana cebisan itu kurang jelas wajahnya. Bersangka baik dengan tuhan. Pastinya, ini adalah salah satu seni kebaikan tuhan yang agung.

Tak perlukan si cantik rupawan, cukup sekadar memberi lelaki itu senyum berlesungkan pipit .

Tak perlukan si kaya raya, cukup sekadar bermewah dengan bersusah payah bersama lelaki itu .

Tak perlukan si cerdik pandai, cukup sekadar bergeliga merendahkan diri menghias kebaikan kepada lelaki itu .

' Aku rindu. Aku teringin memandang tepat ke mata mu tanpa ada lagi pandangan kedua. Ingin sekali aku menyentuh hati mu dengan kalimah-kalimah bahagiaku. Samar-samar wajahmu, akanku tajamkan penglihatan ku meneroka seluruh benua, agar wajahmu lebih jelas di potret hatiku. Biarkan aku mengembara mencari dirimu yang hilang. Pasti aku mahu kuatkan hatiku bagi membiarkan kau turut derita dengan rinduku. Yakin aku berikan hatiku untuk kau rangkul dengan hangat , setia menyambut tanganku berjalan ke taman syurga yang kekal abadi . '

Harapan seorang lelaki itu, sebaik sahaja hikayat itu dilukis, wajah cebisan itu semakin kurang samar-samarnya. Kuat keinginannya untuk lelaki itu berikan hati yang bisa mencipta bahagia yang dijanjikan tuhan. Semoga cebisan itu dibisik dengan perasaan yang bahagia ketika ini, entah tidak tahu benua mana arahnya. Tuhan sahaja lebih maha mengetahui .
oh tuhan , makbulkanlah doa hamba itu.

- Artikel iluvislam.com
Syafiq Ibrahim, pelajar asasi sains semestar dua di UiTM Puncak Alam. Beliau berkongsi karya di http://jiwaku-mysoul.blogspot.com/.

No comments:

Post a Comment