Bukan mengejar cita-cita…
Belajar bukanlah untuk mengejar cita-cita, tetapi untuk mengejar ‘makna’. Cita-cita adalah pandangan manusia, sebaliknya ‘makna’ ialah pandangan Yang Maha Pencipta. Pandangan manusia hanya sebatas duniawi – kedudukan, pangkat dan kemewahan hidup. Pandangan Allah meliputi kedua-duanya – dunia sebagai tempat menyemai, akhirat nanti tempat menuai.
Belajar adalah satu usaha memperbaiki diri. Ia bukan satu suratan (destiny) tetapi satu kembara (journey) yang berterusan. Kembara ini memerlukan kita menguasai dua bidang ilmu – ilmu akademik (dunia) dan ilmu wahyu (akhirat). Kenapa? Kerana ilmu akademik hanya buat kita pandai. Ilmu wahyu yang membuat kita baik. Kedua-dua ilmu itu perlu dikuasai serentak dan disepadukan.
Sedarlah wahai anakku bahawa umat kita sedang menuju ke lembah hina. Kita telah ketinggalan dalam banyak perkara. Jadi, bersyukurlah dengan peluang ini dan perbetulkan niat. Berusahalah untuk menjadi ‘pelajar mukmin yang profesional’. Belajar untuk mengembangkan potensi diri dan merendahkan ego diri. Bukan untuk menunjuk-nunjuk dan membangga diri. Isilah kelompongan yang ada dalam umat kita. Jadikanlah ilmumu sebagai ‘alat’ untuk mencapai ‘matlamat’ beribadah kepada-Allah – menegakkan hukum-Nya di atas dunia.
Ingatlah pesan Imam Al-Ghazali ini, “Malam-malam telah engkau lalui dengan belajar dan membaca buku-buku. Engkau tidak tidur selama itu. Saya tidak tahu, apa tujuanmu. Jika tujuanmu hanya untuk kesenangan duniawi, maka celakalah kau. Jika tujuanmu untuk menghidupkan syariat Nabi SAW, mendidik akhlak dan mematahkan nafsu yang condong kepada kejahatan, maka sungguh bahagialah kau.”
Bukan juga mengejar cinta…
Kebiasaannya pelajar akan mudah terleka. Terleka dengan persekitaran baru yang menyebabkan berlakunya ‘kejutan budaya’ dalam diri. Tiba-tiba sahaja diri sudah terasa bebas. Bebas lepas untuk berbuat apa sahaja. Manakan tidak, lantaran sudah jauh dari pandangan dan kawalan orang tua.
Tiba-tiba perasaan cinta bertandang ke dalam jiwa tanpa diundang dan diminta. Entah ketika sama-sama mendaftar, atau semasa menghadiri kuliah atau masih dalam minggu orientasi lagi. Aduh, romantiknya. Begitulah yang selalu kita dengar tentang kisah cinta di IPT.
Namun perlu diingat,”Kalimah cinta yang diucapkan terlalu awal, pada usia yang terlalu muda, adalah cinta yang didorong oleh nafsu seks semata.” Jangan hanya menurut rasa dan mengikut emosi… nanti ‘perasaan’ akan bertukar menjadi ‘perasan’. Kita akan jadi tidak normal lagi, mabuk dilanda badai cinta. Ketika itu cinta telah menjadi satu-satunya kejaran. Tidak ada lagi yang lain. Terlupa harapan agama, teralpa tanggungjawab diri. Sirna masa depan dek kelam cinta.
Tanya diri dan jawab seikhlas hati. Adakah diri sudah layak untuk bercinta (layak dalam erti kata yang sebenar)? Jika belum, jadikannya titik tolak untuk berusaha menyempurnakan diri. Tidak lain dan tidak bukan juga dengan belajar. Asasnya ilmu agama – hayati rukun Iman dan laksanakan rukun Islam. Kita tegakkan yang wajib dan tinggalkan yang haram. Kita lawan keinginan nafsu dan berlawan dengan syaitan. Barulah terbina sifat mahmudah (terpuji) dan terhindar sifat mazmumah (keji) dalam diri. Seterusnya ilmu dunia – kita perlukan ilmu yang tinggi untuk dapat menyaingi umat lain (mendapat pekerjaan yang baik atau memulakan usaha niaga sendiri). Pada ketika itu barulah kita telah betul-betul layak untuk bercinta.
Bila diri sudah bersedia pasti cinta akan datang dengan sendirinya. Kata hukama, “Cinta yang dicari adalah baik, tetapi cinta yang didapati tanpa dicari adalah lebih baik.”Jangan kita disampuk cinta terlalu awal. Bimbang-bimbang nanti kita tidak punya apa-apa lagi untuk menyuburkan pohon cinta itu. Kita ketandusan ilmu, ketandusan iman, ketandusan taqwa dan kekurangan bekal untuk membina cinta (dengan sebuah perkahwinan). Kerana apa? Rupa-rupanya kita telah tersilap, dalam mengejar cinta kita telah mengabaikan belajar!
No comments:
Post a Comment